Adab bercinta dalam Islam
Dalam surah ar-Rum ayat 21 Allah
menyatakan, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia
menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat
hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu.
Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan
fikiran”
ISLAM menggariskan akhlak yang terbaik untuk merealisasikan
percintaan sesama lelaki dan perempuan yang mukalaf. Terdapat tiga peringkat
percintaan yang mana orang Islam hendaklah mencuba sedaya upaya mereka untuk
memelihara kesucian cinta itu daripada dicemari unsur-unsur maksiat dan
perkara-perkara yang dapat membawa kepada kemurkaan Allah. Tiga peringkat
tersebut adalah cinta sebelum perkahwinan, cinta selepas bertunang dan cinta
selepas perkahwinan.
Cinta Sebelum Kahwin
Cinta sebelum perkahwinan adalah cinta yang hadir daripada
pergaulan harian dengan individu yang mempunyai kesamaan daripada segi cita
rasa, peribadi, minat dan cara hidup. Ada kalanya cinta ini adalah cinta
pandang pertama yang hadir secara mendadak, dan ia juga mungkin cinta yang
dibina secara berperingkat melalui pertemuan dan pergaulan harian. Cinta
sebelum perkahwinan biasanya tidak digalakkan dalam Islam, kerana dikhuatiri
akan menjerumuskan pencinta itu ke kancah maksiat dan kelalaian dalam
percintaan. Walau bagaimanapun, jika percintaan itu mempunyai matlamat suci,
iaitu untuk membawa pencinta itu ke jinjing pelamin dan ikatan yang sah, maka
sebagai pencinta yang beriman dan takutkan Allah, mereka haruslah menjaga dan
memelihara perkara-perkara berikut:
1.Menjaga batas-batas pergaulan dengan tidak menyentuh
sesama sendiri, tidak membuang masa berjam-jam dengan bertelefon atau
berbual-bual, dan tidak menjadikan pergaulan mereka seperti suami isteri yang
sudah sah dinikahkan. Mereka harus sedar dan berasa malu kerana mereka masih
belum mempunyai sebarang hak ke atas satu sama lain.
2.Menghormati maruah dan harga diri masing-masing, dalam
erti kata lain tidak membenarkan diri berdua-duaan dengan kekasih, kerana orang
yang ketiga adalah syaitan. Di samping itu tidak berhias-hias atau menampakkan
perhiasan di hadapan kekasih kerana dikhuatiri boleh menaikkan nafsu syahwat kekasih.
Sebaik-baiknya sebarang pertemuan hendaklah melibatkan mahram atau ibu bapa
yang mengawasi tingkah laku mereka.
3.Mendapat restu dan kebenaran dari
ibu bapa adalah faktor kejayaan dalam percintaan sebelum perkahwinan. Restu
daripada ibu bapa memudahkan proses pertunangan dan pernikahan yang akan
berlangsung sebagai kelangsungan daripada cinta itu. Ibu bapa harus memainkan
peranan dengan memastikan anak-anak tidak melupakan tanggungjawab peribadi dan
batasan akhlak dan ajaran agama semasa bercinta
.
.
4.Berdoa dan menunaikan solat hajat supaya percintaan yang
dimiliki akan diredai dan diberkati Allah. Bermohon kepada Allah supaya cinta
itu dapat membawa kepada kesempurnaan peribadi dan kesempurnaan agama dengan
mendirikan rumah tangga dan memelihara kelangsungan cinta itu.
5.Sentiasa melakukan solat
Istikharah bagi meneguhkan hati supaya orang yang dicintai itu adalah yang
terbaik untuk menjadi pasangan hidup sehingga ke akhir hayat. Janganlah
mencintai seseorang kerana harta, rupa atau keturunannya, tetapi cintailah dia
kerana agama dan kemuliaan akhlaknya. Solat istikharah membantu supaya individu
yang bercinta itu tidak menyesal dengan pilihannya dan dia wajiblah menjuruskan
percintaannya itu untuk mendirikan rumah tangga yang terpelihara. Sekiranya dia
bercinta tanpa niat untuk berumah tangga tetapi sekadar ingin bermain-main dan
bersuka ria, maka percintaan itu adalah penipuan dan setiap perbuatan ke arah
itu mencetuskan dosa dan kemurkaan Allah.
Setiap perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih, bersalaman,
berdating, berpelukan dan bercanda adalah dilarang sebelum perkahwinan. Sebagai
hamba Allah yang takut kepada kemaksiatan dan kehinaan hidup di dunia, pasangan
kekasih hendaklah berasa malu untuk mempamerkan ‘cinta terlarang’ mereka kerana
belum lagi diiktiraf oleh perkahwinan yang dituntut oleh syarak. Tetapi
sebaliknya, apabila diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah,
perbuatan-perbuatan itu mendatangkan pahala dengan syarat suami isteri itu
berusaha untuk menjaga batasan akhlak dan kesopanan tingkah laku apabila berada
di khalayak ramai.
Cinta Selepas Bertunang
Kebanyakan orang yang bercinta
menyimpan hasrat untuk mempertahankan cintanya hingga ke jinjang pelamin.
Ber-tunang adalah cara yang dilakukan bagi menyempurnakan janji untuk
berkahwin. Ia adalah tanda pengabadian cinta yang suci dan tulus. Cinta dalam
pertunangan besar ujiannya kerana godaan dan cabaran yang datang dari pelbagai
pihak mampu merubah hati dan pendirian pasangan. Orang yang bertunang dikatakan
‘berdarah manis’ kerana mudah terjebak kepada gangguan perasaan dan terdedah
kepada pelbagai cabaran. Oleh sebab itu pertunangan tidak digalakkan untuk
tempoh yang lama mengikut adat masyarakat Melayu. Malah ia tidak perlu
dihebohkan kepada semua orang kerana dikhuatiri pasangan itu berubah hati dan
tidak jadi melangsungkan perkahwinan.
Bertunang tidak sama dengan berkahwin. Bertunang adalah
ikatan tetapi ia belum diteguhkan oleh akad yang menghalal-kan segala
perhubungan antara lelaki dan perempuan. Bertunang adalah tempoh suai kenal bukan
tempoh memadu asrama. Maka orang yang sedang bertunang tidak boleh melanggar
batas-batas agama kerana mereka masih belum ‘halal’ untuk sentuh-bersentuhan,
cium-berciuman dan sebagainya. Pihak lelaki perlu menyedari mereka belum lagi
menjadi suami, begitu juga pihak perempuan belum bergelar isteri. Maka
berhati-hatilah dalam pergaulan kerana syaitan sentiasa menjadi orang ketiga
yang tidak jemu menggoda dan cuba merosakkan cinta yang terbina.
Cinta Selepas Kahwin
Allah mengiktiraf cinta selepas
perkahwinan sebagai yang terbaik dan sumber segala kesenangan dan kasih sayang
sebagaimana yang dinyatakan di dalam Quran ayat 21 surah ar-Rum, “Dan di antara
tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu
dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan
diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada
tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”.
Cinta selepas perkahwinan adalah cinta yang diredai dan
dituntut oleh ajaran Islam. Cinta seharusnya berputik mekar selepas pasangan
suami isteri itu mendapat mandat yang agung untuk bercinta melalui ikatan yang
sah dan diiktiraf oleh agama dan juga anggota masyarakat. Bagi menyuburkan
cinta selepas perkahwinan, maka pasangan suami isteri haruslah menghormati
hak-hak dan tanggungjawab kepada yang dicintai dengan penuh kecintaan dan kasih
sayang. Antara cara-cara untuk menyuburkan rasa cinta sebegitu adalah:
1.Membuktikan cinta melalui ketaatan, kasih sayang,
pengorbanan dan kesungguhan memuliakan pasangan dan rumah tangga yang dibina.
Pasangan suami isteri hendaklah sentiasa saling hormat-menghormati, menghargai
perasaan dan tutur kata, sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga dan berusaha
memelihara amanah dan janji yang dibuat.
2.Melahirkan zuriat sebagai bukti cinta yang terjalin.
Sekiranya ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, suami hendaklah bersabar dan
tidak terburu-buru untuk berkahwin lain. Seharusnya usaha dilipatkan gandakan
untuk mendapatkan zuriat baik secara tradisional mahupun secara perubatan.
Sekiranya tidak berhasil, bolehlah mengambil anak angkat sebagai langkah
alternatif.
3.Mengasihi dan menghormati ahli keluarga pasangan suami
isteri. Bagi mewujudkan keluarga yang harmonis, perhubungan kedua-dua belah
pihak hendaklah dijaga dan dipelihara sebaik mungkin. Sesekali, hadiah dapat
dijadikan penghubung kasih-sayang dan tidak lupa untuk bertanya khabar
sekiranya tidak berkesempatan untuk menziarahi keluarga yang jauh.
Seharusnya Cinta…
Insan yang beriman sering kali
meletakkan sandaran yang kuat dan kukuh kepada Allah. Maka, dalam soal
percintaan, sering kali mereka bersikap tenang dan menyerah diri kepada
ketentuan Allah. Ini adalah kerana mereka yakin cinta datang dari Allah dan
hanya Dia sahaja yang dapat menganugerahkan atau menghapuskan cinta itu. Allah
adalah Pencipta kepada cinta, dan setiap penciptaan-Nya ada matlamat dan sebab
kewujudannya, yang sering kali tidak cuba difahami oleh manusia.
Hanya segelintir sahaja yang
memahami hakikat didatangkan perasaan cinta itu, iaitu kembali kepada asal
matlamat kejadian manusia; untuk menyembah dan melakukan ketaatan kepada Allah.
Tidak kira apa bangsa ataupun agama sekalipun, hakikat cinta adalah kembali
kepada mengagungkan dan membesarkan Tuhan yang menciptakan segala cinta. Agama
Islam, Kristian, Buddha, Hindu serta lain-lain agama tetap mengupas persoalan
cinta sebagai sumber kedamaian hati dan keamanan dunia.
Realiti cinta menuntut pengorbanan
daripada setiap individu yang berani untuk melibatkan dirinya dalam percintaan.
Cinta penuh dengan air mata, aliran perasaan yang amat deras dan getaran yang
mengilukan hati. Cinta juga penuh dengan keindahan, keselesaan, kehalusan
perasaan dan kenikmatan jasmani mahupun rohani. Ini adalah kerana, cinta tidak
hanya melibatkan perasaan semula jadi antara lelaki dan perempuan sahaja tetapi
juga melibatkan perhubungan antara manusia dan Tuhan, manusia dan alam, serta
manusia dan perbuatan.
Oleh yang demikian, insan yang
beriman dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan dalam pergaulan,
kekecewaan dalam percintaan, dan kehancuran dalam kehidupan. Mereka memahami
hakikat cinta dan jenis-jenis cinta yang wujud dalam dunia ini, lantas
menjadikan fikiran mereka lebih terbuka dan bijaksana dalam menangani soal
percintaan. Penderitaan, penyesalan, dan kebencian tidak dijadikan sebagai
sumber yang boleh memudaratkan diri dan hati, tetapi sebaliknya sebagai sumber
yang memberi kesedaran dan keinsafan akan hakikat kehidupan yang sebenarnya.
No comments:
Post a Comment